SHAH ALAM, 12 JUN: Jabatan Perikanan Selangor melepaskan 100,000 benih udang galah di perairan Sungai Langat, Kuala Langat dalam usaha menjaga kepentingan ekosistem perairan darat.
Pengarahnya Noraisyah Abu Bakar berkata pelepasan benih udang galah bertujuan menambah populasi spesis tersebut selain sebagai simbolik bagi memastikan sumber perikanan terus lestari.
“Bagi program pelepasan benih ini, Jabatan Perikanan Selangor memberi keutamaan kepada kawasan yang mempunyai nelayan darat supaya hasil yang diperoleh dari aktiviti menangkap ikan ini adalah berbaloi dan memberi sumbangan kepada pedaratan ikan darat.
“Sejak 3 tahun lalu, kita telah melepasakan 849,968 benih ikan ke perairan umum di seluruh Selangor dan kita akan melepaskan lebih 400,000 benih ikan tempatan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Pemulihan Ekosistem Perikanan Darat Selangor 2025 di Jeti Nelayan Sungai Lang Baru, Jalan Sentosa, Banting, semalam.
Perasmian majlis itu disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Langat Tengku Rohana Tengku Nawawi diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Mohd Hasry Nor Mohd.
Dalam pada itu, Noraisyah berkata lebih 20 tan ikan asing yang menjoritinya ikan bandar raya berjaya ditangkap di Selangor sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, kebanjiran ikan asing di sungai adalah disebabkan berlaku pelepasan ikan secara sengaja atau tidak sengaja ke dalam sungai yang dilakukan tanpa kebenaran Jabatan Perikanan negeri.
“Sebagai langkah untuk menangani masalah ini, kita telah menganjurkan pelbagai aktiviti yang disertai komuniti, badan bukan kerajaan, pelajar universiti, agensi kerajaan dan nelayan setempat selain menerusi kempen di media cetak dan elektronik,” katanya.
Sumber: SelangorKini