Bagan Lalang 'bebas plastik' 24 Mei ini

Tarikh: 19/05/2025
img

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor menganjurkan Kempen Bebas Plastik dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar dan mengurangkan pencemaran plastik sekali guna di kawasan pantai Bagan Lalang, dekat Sepang.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, sempena kempen berlangsung 24 Mei itu, semua peniaga di tapak program tidak akan menggunakan beg plastik dan sebarang bekas plastik.

Sementara itu, katanya pengunjung yang membawa bekas makanan dan minuman sendiri yang tidak berasaskan plastik akan menerima diskaun istimewa bagi setiap pembelian di reruai makanan yang dibuka.

Beliau berkata, program terbabit adalah inisiatif Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar sebagai langkah advokasi berterusan terhadap pengurangan penggunaan plastik, sekali gus memperkasakan amalan kitar semula dan gaya hidup lebih mesra alam dalam kalangan masyarakat.

"Penganjuran ini bertujuan mendidik orang ramai tentang kesan jangka panjang sisa plastik terhadap alam sekitar, ekosistem dan kesihatan awam serta menggalakkan komuniti tempatan untuk lebih proaktif dalam pengurusan sisa," katanya melalui kenyataan hari ini.

Antara segmen menarik menanti pengunjung sepanjang program adalah larian tiga kilometer (km), senamrobik, pameran agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Jamaliah berkata, akan turut diadakan aktiviti menanam pokok dan pertunjukan fesyen bertemakan bebas plastik serta alam sekitar yang melibatkan penyertaan kanak-kanak.

Bagan Lalang menjadi lokasi pertama yang juga sebahagian daripada empat siri program yang dirancang di bawah Kempen Bebas Plastik 2025.

Jamaliah berkata, program berikutnya akan diteruskan di lokasi lain sekitar Selangor pada Jun dan Ogos, sebelum acara kemuncak iaitu Karnival Alam Sekitar pada Oktober ini.

"Saya percaya usaha ini bukan sahaja mampu meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat, malah dapat membina komuniti yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap kelestarian alam semula jadi.

"Justeru, saya mengajak seluruh masyarakat khususnya penduduk sekitar Sepang dan kawasan berdekatan untuk hadir beramai-ramai menyokong program ini.

"Ayuh bersama kita tunjukkan komitmen terhadap alam sekitar dan menjadi ejen perubahan untuk generasi akan datang," katanya.

Sumber: Berita Harian 


Radio MPSepang
Semarak Harimu