Ekspo Osaka tonjol kekuatan ekonomi Selangor, tahan uji depani cabaran semasa

Tarikh: 07/05/2025
img

OSAKA, 6 MEI: Penganjuran Pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Osaka, Kansai 2025 di sini, menjadi platform menonjolkan kekuatan negeri sebagai gedung utama ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari berkata ekspo dunia itu pentas mempamerkan negeri ini tahan uji berdepan cabaran ekonomi selain cepat beradaptasi dengan penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan bandar pintar.

“Selangor selaku pemain utama kepada ekonomi Malaysia mendokong kekuatan tahan uji untuk berdepan pesaing serantau (tarif timbal balik) yang begitu mencabar berikutan perang dagang yang berlanjutan sehingga kini.

“Malah, Ekspo Osaka mempamerkan watak tahan uji negeri terhadap beberapa isu berkenaan alam sekitar dan teknologi hijau.

“Kerajaan Negeri membuat program forum, dialog dan padanan perniagaan bertemu dengan pemain industri seluruh dunia di sini untuk memberi keyakinan pada mereka bahawa Malaysia destinasi terbaik untuk jalani aktiviti perniagaan,” katanya ketika ditemui di Ekspo Osaka.

Amirudin berkata penyertaan dalam ekspo dunia membuka peluang Selangor mempelajari pengurusan berkaitan teknologi, perdagangan, pelaburan dan inovasi dari pelbagai negara.

“Ekspo Ddunia ini bukan hanya melibatkan Pavilion Malaysia sahaja, malah negara lain seperti Filipina dan Eropah menjadi peluang terbaik untuk negeri belajar. Ini juga platform memperkenal lebih banyak tentang Selangor dari sudut potensi dan keupayaanya,” ujarnya lagi.

Pameran Minggu Selangor dengan membawa tema “Building a resilient future” menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.

Program selama seminggu ini menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.

Penyertaan Pavilion Malaysia yang bertemakan “Weaving a Future in Harmony” dalam ekspo ini merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih meluas untuk meningkatkan kehadiran global dan perkongsian ekonomi negara.

Sumber: SelangorKini 

Radio MPSepang
Semarak Harimu