Jualan Ehsan Rahmah mega sempena Aidilfitri Rabu hingga Jumaat ini

Tarikh: 24/03/2025
img

SHAH ALAM, 24 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menganjurkan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega sempena Aidilfitri pada 26 hingga 28 Mac ini bagi meringankan beban belanja keluarga menyambut perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) dikenal pasti terlibat jualan murah berkenaan.

“DUN terlibat adalah Sungai Tua, Pandan Indah, Paya Jaras, Kota Anggerik, Taman Templer dan Sabak, Batu Tiga, Bukit Antarabangsa, Semenyih, Meru, Tanjung Sepat dan Kota Kemuning dengan lokasi strategik sedang dikenal pati,” katanya.

Tambah beliau, empat lokasi jualan terpilih akan menyediakan 1,500 ekor ayam untuk dijual kepada pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.

Kata Mohamad Khairil, selain barangan asas seperti ayam, ikan, daging, telur, minyak dan beras, barangan tambahan sempena persiapan Aidilfitri turut disediakan.

“Barangan seperti santan kotak, nasi himpit, bawang merah, cili kering, kerisik dan kacang tanah akan turut disediakan nanti,” katanya.

Belanjawan 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER tahun ini, sekali gus membuktikan tekad pentadbiran negeri meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.

JER dijadual berlangsung di lebih 1,700 lokasi termasuk jualan mega semasa musim perayaan.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Sumber: SelangorKini

Radio MPSepang
Semarak Harimu