SHAH ALAM, 20 MEI: Orang ramai dijemput memeriahkan Karnival Ceria Selangor anjuran Kerajaan Negeri yang berlangsung pada 31 Mei ini di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, bermula jam 7 pagi.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung termasuk Larian Kasih Ibu sempena Kempen Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak.
Selain itu, acara lain yang ditawarkan ialah pertandingan mencipta wau untuk kanak-kanak, teater kesedaran tentang keganasan gender dan cabutan bertuah dengan hadiah lumayan.
“Turut diadakan ialah pelancaran inisiatif Khairat Darul Ehsan, program pendidikan dan hiburan untuk semua lapisan masyarakat serta pemberian beg sekolah kepada ahli TAWAS,” katanya menerusi Facebook.
Karnival terbuka kepada orang awam dan masuk adalah percuma. Kuntuman ros istimewa untuk 500 peserta terawal dan kemeja-T percuma juga menanti 1,000 peserta terawal.
“Sama ada anda anak kecil, remaja, ibu muda, atau nenek hebat. Ini masa kita bersama melangkah penuh ceria dan kasih sayang! Ajak ibu, anak, jiran dan kawan.
“Kita meriahkan Karnival Ceria Selangor! Sambil berlari, sambil merai dan mengukuh hubungan keluarga,” katanya.
Sumber: SelangorKini