KPKT sasar bina 10 taman rekreasi kenderaan seluruh negara - Aiman Athirah

Tarikh: 23/09/2025
img

SEPANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan membina sekurang-kurangnya 10 taman rekreasi kenderaan di seluruh negara, sekali gus memberi lebih banyak pilihan ruang riadah kepada orang ramai.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat ini kementerian telah membangunkan dua lokasi perintis iaitu di Rompin, Pahang dan Sepang, Selangor sebagai model awal sebelum diperluas ke negeri lain.

"Kita sasarkan 10 lokasi keseluruhan dengan kerjasama rakan strategik dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Antara negeri yang dilihat berpotensi termasuk Terengganu, Pahang dan Kedah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Taman Rekreasi Kenderaan di Pantai Bagan Lalang di sini pada Ahad.

Beliau menjelaskan, kewujudan taman rekreasi kenderaan itu diharap dapat menyediakan ruang ketiga sebagai tempat rekreasi santai bersama keluarga.

Setakat ini katanya, KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi setiap lokasi di Rompin dan Sepang.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah menjelaskan, sebanyak RM200,000 lagi peruntukan akan ditambah di Pantai Bagan Lalang bagi memperkasakan kemudahan sedia ada.

Menurutnya, taman rekreasi kenderaan di Pantai Bagan Lalang mula dibuka pada Disember ini, namun orang ramai sudah boleh membuat tempahan lebih awal secara dalam talian melalui Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Menurutnya, buat permulaan terdapat 11 tapak disediakan dan jumlah itu akan ditambah sekiranya mendapat sambutan menggalakkan.

"Caj sewaan tapak akan ditentukan oleh PBT mengikut garis panduan yang dibangunkan KPKT," tambah beliau.

Taman rekreasi kenderaan di Bagan Lalang turut menyediakan sokongan infrastruktur moden termasuk bekalan elektrik, air, tandas, surau, pejabat pengurusan, gazebo dan kawasan BBQ.

Susun atur tapak dan zon itu turut menitikberatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna berpandukan Garis Panduan Taman Rekreasi Kenderaan.

Sumber: Sinar Harian 

Radio MPSepang
Semarak Harimu