Lampu jalan solar Bukit Dugang tingkat keselamatan penduduk Orang Asli

Tarikh: 09/04/2026
img

SHAH ALAM, 9 APRIL: Pemasangan enam unit lampu jalan solar di Kampung Orang Asli Bukit Dugang, Dengkil meningkatkan tahap keselamatan penduduk setempat khususnya pada waktu malam.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Papparaidu Veraman memaklumkan kemudahan itu bukan sahaja memberi pencahayaan malah membantu pergerakan harian komuniti terbabit.

Menurut beliau, pemasangan lampu solar berkenaan turut memberi manfaat kepada anak-anak Orang Asli yang perlu keluar awal pagi ke sekolah dalam keadaan lebih selamat dan selesa.

“Lebih penting, usaha ini membawa mesej jelas bahawa komuniti Orang Asli tidak diketepikan dalam arus pembangunan,” katanya menerusi Facebook semalam.

Papparaidu berkata penyediaan kemudahan asas seperti lampu jalan adalah antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Beliau menegaskan setiap komuniti termasuk Orang Asli, berhak menikmati kemudahan yang sewajarnya tanpa sebarang jurang pembangunan.

“Kita mahu pastikan setiap lapisan masyarakat menikmati kemudahan asas yang sewajarnya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau berharap usaha berkenaan dapat memberi dorongan kepada komuniti Orang Asli untuk terus maju dan berdaya saing.

Papparaidu turut menyatakan sokongan berterusan perlu diberikan agar golongan tersebut mampu melangkah lebih jauh dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, komuniti Orang Asli berpotensi menjadi generasi pewaris dan pemimpin masa hadapan negara sekiranya diberikan peluang serta sokongan mencukupi.

Sumber: Media Selangor 

Radio MPSepang
Semarak Harimu