Lebih 3,000 gagak ditembak dalam Operasi OMG 2025

Tarikh: 27/05/2025
img

SEPANG – Sebanyak 3,605 ekor burung gagak berjaya ditembak dalam Operasi Menembak Gagak (OMG 2025) oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) semalam.

Menurut kenyataan MPSepang, operasi itu dijalankan bagi menangani gangguan populasi burung gagak yang semakin meningkat dan menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk.

“Jumlah tertinggi direkodkan di kawasan Serenia, Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi iaitu sebanyak 884 ekor,” kata kenyataan tersebut.

Operasi yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran MPSepang itu menyaksikan penglibatan seramai 44 orang penembak terlatih yang ditugaskan di beberapa kawasan strategik dalam daerah Sepang.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi tersebut merupakan inisiatif berterusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani aduan kacau ganggu awam akibat pertambahan ketara populasi burung gagak.

“Ia termasuklah dalam aspek pencemaran bunyi, najis yang mengganggu kebersihan dan kesihatan awam serta kerosakan harta benda awam disebabkan kandungan asid dalam najis burung tersebut.

Sebelum ini, MPSepang turut melaksanakan pelbagai kaedah pengawalan termasuk menabur umpan dan memasang perangkap, namun bilangan burung gagak yang terus meningkat memerlukan pendekatan lebih agresif dan bersasar.

MPSepang menegaskan bahawa operasi seperti OMG 2025 akan terus dijalankan secara berkala berdasarkan penilaian keperluan, selain menggalakkan kerjasama komuniti dalam menangani punca yang menarik kehadiran burung gagak seperti pembuangan sisa makanan secara terbuka.

Sumber: Malaysia Tribune 

Radio MPSepang
Semarak Harimu