GOMBAK, 7 JUN: Kerajaan Negeri berhasrat memberi tumpuan penuh terhadap projek naik taraf kemudahan awam dan pengindahan di semua pangsapuri menerusi Belanjawan 2026.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu selaras dengan visi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu Selangor sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur.
“Kita juga tidak lupakan projek pengindahan dan naik taraf. Tahun depan kita akan fokus kepada naik taraf kemudahan di kediaman pangsapuri.
“Inilah yang dipanggil berdaya huni. Kita tahu ia adalah keperluan setiap rakyat,” katanya ketika berucap dalam program Qurban Strata Gombak di Pangsapuri Kenanga di sini, hari ini.
Amirudin menambah, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM10 juta bagi membantu menyelesaikan pemilikan hak milik strata membabitkan kediaman pangsapuri di Selangor.
Jelasnya, ketika ini lebih 10,000 pemilikan hak milik strata masih belum selesai yang memerlukan anggaran perbelanjaan keseluruhan RM80 juta.
“Penyelesaian hak milik strata ini antara fokus saya. Sebagai contoh tahun ini kita sediakan dana RM10 juta. Sebenarnya ada lebih 10,000 hak milik strata yang perlu diselesaikan tetapi kita buat dahulu RM10 juta ini,” katanya.
Pada 31 Mei lalu, Amirudin melancarkan Dana Strata Selangor berjumlah RM10 juta yang bertujuan menyelesaikan isu pembangunan tanpa hak milik strata khususnya melibatkan pangsapuri lama.
Menurutnya peruntukan tersebut membuktikan komitmen pentadbiran negeri untuk menyelesaikan isu hak milik penghuni yang telah berlarutan puluhan tahun.
Pada Belanjawan Selangor 2025, Ahli Parlimen Gombak itu mengumumkan peruntukan RM10 juta sebagai dana awal penyelesaian strata di Selangor bagi meningkatkan peratusan penyelesaian pembangunan tanpa hak milik strata negeri.
Sumber: SelangorKini