SUBANG JAYA, 8 JUN: Orang ramai dijemput menyertai program kitar semula dan kutipan barangan elektrik terpakai anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Taman Puncak Jalil pada 14 Jun.
Melalui perkongsian di Facebook, MBSJ memaklumkan 100 peserta terawal yang membawa barangan kitar semula seberat 2 hingga 5 kg ke atas berpeluang menerima beg hadiah istimewa daripada Nestle.
Program kerjasama Nestle Malaysia dan KPT Recycle Sdn Bhd dijadual berlangsung di Tapak Penjaja PUJ 3/10 mulai 9 pagi hingga 12 tengah hari.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan kitar semula dan mempromosi kutipan kitar semula dari pintu ke pintu yang sedang dijalankan di kawasan terbabit,” jelas MBSJ.
Maklumat lanjut dan syarat penyertaan boleh diperolehi menerusi pautan ini https://qr.me-qr.com/mobile/pdf/7275aba4-b2f6-4146-b881-0ebd50fd6e70
Sementara senarai barangan dan harga e-sisa boleh dirujuk menerusi https://qr.me-qr.com/data/image-pack/uMpQz0FO
Pada 22 April, KDEB Waste Management bersama Nestle memeterai memorandum persefahaman bagi melaksanakan program Selangor Kitar Semula (SELKitar) dalam usaha memperkasa kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah.
SELKitar merupakan fasa baharu bawah Projek Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu yang diperkenal Nestle pada 2020 di beberapa negeri.
Projek ini menjadi inisiatif Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan sukarela terbesar di Malaysia dan kini sedang dilaksana membabitkan 200,000 kediaman di enam bandar raya utama.
Sumber: SelangorKini