Pembukaan Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC) di Cyberjaya, Sepang bakal memberi dimensi baharu untuk sukan yang menyimpan sejarah panjang di negara ini.
Meski dianggap acara elit, usaha dibuat bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengenali, mencuba dan menyertai sukan polo serta ekuestrian, khususnya generasi muda.
RSPEC bukan untuk keahlian eksklusif sahaja sebaliknya kelab awam yang menjambatani orang ramai dengan sukan tersebut, kata Presidennya Dato’ Syed Budriz Putra Jamalullail.
“Melangkah ke hadapan, RSPEC akan memperluas penganjuran program sukan, pendidikan dan komuniti bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang, khususnya generasi muda untuk mengenali, mencuba dan menyertai sukan polo serta ekuestrian.
“Usaha berterusan ini diharap dapat menyumbang kepada pembangunan bakat baharu, memperkukuh ekosistem sukan berkuda serta menjadikan RSPEC sebagai destinasi sukan dan rekreasi yang terbuka, dinamik dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya kepada Media Selangor.
Pembinaan RSPEC di tanah seluas 28 hektar pada November 2024 itu selari misi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya negeri ini ada kemudahan sukan yang lengkap dan selesa.
RSPEC yang dirasmikan Baginda pada 26 September itu menyediakan trek pasir sepanjang satu kilometer, 136 petak kandang kuda, arena dalaman dan luaran. Ia turut menempatkan lapan gelanggang bola pikel.
Menurut Timbalan Presiden RSPEC Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim pula, Sultan Sharafuddin mahu pembangunan tersebut menjadi pemangkin perkembangan sukan polo dan ekuestrian di Selangor.
"Orang awam boleh datang untuk menggunakan segala kemudahan. Pasti ada bayarannya dalam konteks 'pay per use' tetapi paling penting ia milik orang awam, kita hendak merakyatkan sukan ini selain merasai sendiri pengalaman.
"RSPEC diwujudkan supaya menjadi destinasi sukan rekreasi komuniti yang boleh dinikmati lebih ramai masyarakat," katanya.
RSPEC juga menyediakan kelas khas pada kadar yuran berpatutan bagi memberi pendedahan kepada individu yang berminat menunggang kuda atau menjadi atlet sukan polo dan ekuestrian.
Selain menyediakan kuda untuk latihan, Akademi Polo juga diwujudkan bagi melahirkan lebih ramai atlet selain beri pendedahan awal perihal kaedah menunggang dan bermain polo.
Selain sukan, RSPEC juga menekankan aspek pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi membuka peluang kepada masyarakat mengubah kehidupan dalam bidang berbeza.
Menurut Dr Irmohizam, terdapat banyak ruang kemahiran bagi TVET berteras industri sukan polo dan ekuestrian antaranya penjagaan kuda termasuk memastikan tempat simpanan kuda.
"Ini bukan hanya kepada mereka yang menunggang kuda sahaja sebaliknya nilai tambah pendidikan itu supaya menjadi pencetus sekaligus mengubah nasib masyarakat dalam bidang berbeza.
"Kita boleh bekerjasama dengan universiti-universiti di Selangor seperti Universiti Putra Malaysia melibatkan latihan industri yang ada di fakulti berkaitan bukan berkaitan kuda sahaja tetapi veterinar dan perniagaan," katanya lagi.
Dengan adanya kemudahan polo dan ekuestrian termasuk di Fraser Valley Polo Club di Kuala Kubu Bharu, Selangor berupaya melahirkan bakat baharu untuk bersaing dengan atlet antarabangsa.
Sumber: Media Selangor