BANGI AVENUE CONVENTION CENTRE, BANGI - Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) telah dijemput untuk menghadiri Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Menteri KPKT, Nga Kor Ming.
Dalam majlis berprestij ini, Majlis Perbandaran Sepang telah dinobatkan sebagai Juara bagi Kategori Kempen Premis Makanan Bersih PBT 2025. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Menteri KPKT, Ng Kor Ming kepada Penolong Setiausaha MPSepang, Puan Nor Suhaila binti Saat, diiringi oleh Encik Azirol Hisyam bin Azmi, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPSepang. Turut sama naik ke pentas ialah Encik Mohd Salihin bin Jelani, Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPSepang.
YB Menteri KPKT dalam ucapannya memetik, "Kempen yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu ialah Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih, Kempen Tandas Awam Bersih (BMW), Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Kempen Cegah Wabak Denggi, dan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar. Kempen-kempen ini merupakan pelaksanaan, penjajaran program dan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG), dan khususnya SDG 3 (Kesihatan baik dan Kesejahteraan), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), serta SDG 11 (Kemampanan Bandar dan Komuniti). Ini bukan sekadar kempen semata-mata, tetapi pembudayaan standard operasi piawai mengikut garis panduan yang telah disediakan".
Pada sebelah petangnya, acara bersambung dengan pembentangan yang disampaikan oleh peserta yang berjaya. Antaranya termasuklah Majlis Perbandaran Sepang yang diwakili oleh Encik Azirol Hisyam bin Azmi, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran; membentangkan kejayaan-kejayaan membenteras masalah anjing liar, wabak denggi, kempen-kempen yang telah diadakan, dan kerja-kerja organisasi ini dalam menaikkan taraf hidup warga Sepang. Sijil penyertaan juga diberikan kepada peserta yang terlibat dalam majlis penutup.
Kejayaan yang dirangkul kali ini, merupakan hasil kolabrasi semua Jabatan dalaman yang berkaitan dan ianya, menjadi amalan pemangkin semangat kepada semua pengusaha premis makanan untuk terus komited dalam menjaga kebersihan serta memastikan pengendalian makanan yang selamat di premis masing-masing.
Tahniah dan syabas kepada semua warga kerja MPSepang atas usaha dan dedikasi yang membuahkan hasil ini. Mari kita terus melangkah bersama ke arah persekitaran yang Bersih, Hijau dan Sejahtera.
Sumber: Facebook Majlis Perbandaran Sepang