MPSepang: Pemilik premis diberi tempoh 14 hari turun iklan vape

Tarikh: 29/05/2025
img

SHAH ALAM, 27 MEI: Tempoh 14 hari akan diberikan kepada semua pemilik premis untuk menurunkan sebarang bentuk iklan berkaitan produk vape atau rokok elektronik di lokasi masing-masing.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berkata ia susulan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merampas dan menyita iklan berkaitan produk itu di semua medium fizikal termasuk papan iklan digital atau LED.

Muhamad Shah Osmin berkata semakan inventori MPSepang mendapati terdapat 31 premis menjual vape di Sepang dengan 13 daripadanya beroperasi secara sah manakala selebihnya beroperasi tanpa lesen.

“MPSepang akan memberi tempoh selama 14 hari kepada pemilik premis untuk menurunkan atau menanggalkan sebarang bentuk iklan berkaitan produk vape di premis masing-masing.

“Sekiranya pemilik premis gagal mematuhi arahan ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan diambil termasuk penyitaan bahan iklan dan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Perkara ini akan melibatkan keseluruhan perniagaan vape yang dijalankan di Sepang,” katanya dalam perutusan sempena Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengarahkan semua PBT merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape di semua medium fizikal termasuk papan iklan digital atau LED.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata tindakan itu selaras peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) bagi melindungi rakyat khususnya generasi muda daripada ancaman vape yang semakin membimbangkan.

Sumber: SelangorKini 

Radio MPSepang
Semarak Harimu