SHAH ALAM, 29 APRIL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mencatatkan jumlah pelaburan ketiga tertinggi dengan nilai RM2.46 bilion tahun lalu.
Timbalan yang dipertuanya berkata nilai membabitkan 18 projek itu berdasarkan penilaian Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Muhamad Shah Osmin sebanyak RM2.31 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM0.15 bilion pula pelaburan langsung domestik (DDI).
“Antara aktiviti utama projek adalah berkaitan dengan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi seperti pusat data, pembuatan bahan kimia, pejabat dan teknologi hijau.
“Merujuk kepada Mida, lokasi 18 projek berkenaan adalah lima di Cyberjaya melibatkan pelaburan RM544 juta, dua di Sungai Pelek (RM34 juta), satu di Selangor Sains Park 2 (RM10 juta) dan 10 projek di kawasan lain di Sepang berjumlah RM1.8 bilion,” katanya.
Bercakap ketika mempengerusikan mesyuarat MPSepang semalam, Muhamad Shah berkata Sepang turut terpilih bagi projek Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).
Jelasnya, projek berkenaan dijangka mencapai nilai pembangunan kasar sebanyak RM1 trilion melibatkan sektor perindustrian, logistik, perumahan, pelancongan dan pendidikan.
“Terdapat empat projek utama yang menyertai IDRISS di Sepang dengan keluasan 12,482 ekar antaranya projek Sepang Gold Coast Global Village, Integrated Agricultural Technology, KLIA Aeropolis dan Selangor Aero Park,” katanya.
Sumber: SelangorKini