SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri akan menganjurkan Festival Makanan Mega Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 1 Mei depan.
EXCO Pelancongan berkata festival selama empat hari sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk demonstrasi makanan dan persembahan malam kebudayaan.
“Selangor pernah anjurkan pada 2016 namun dihentikan dan sekarang kita akan adakan semula untuk orang ramai nikmati kepelbagaian makanan Selangor.
“Kita jangka dapat menarik seramai mungkin kerana di Selangor terdapat pelbagai hidangan gastronomi yang sangat enak dari pelbagai kaum, akan turut kita ketengahkan,” kata Dato’ Ng Suee Lim pada Sabtu.
Beliau menambah TMS2025 akan disemarakkan lagi dengan penganjuran Festival Kampung Baru Ogos ini bagi menonjolkan identiti Kampung Baru di seluruh negeri.
“Kita sedang buat persiapan dan menyasarkan dua lokasi untuk acara berkenaan. Ia juga akan menjadi satu festival mega yang akan mengetengahkan produk tempatan dengan menyelitkan elemen kebudayaan dan warisan negeri ini,” katanya.
Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pengunjung ke Selangor tahun ini dengan catatan transaksi RM11.7 bilion sempena TMS2025.
TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.
Sumber: SelangorKini