SHAH ALAM, 23 SEPT: Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (PDT Sepang) menahan sebuah lori yang dikesan membawa tanah merah bagi tujuan tambakan dalam operasi penguatkuasaan hari ini.
Pemeriksaan awal mendapati lori berkenaan disyaki melakukan pengalihan bahan tanah tanpa permit sebelum ditahan bagi tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara.
“Operasi ini dilaksanakan susulan aduan yang diterima berhubung timbunan sisa dalam jumlah yang besar berhampiran kawasan kediaman dan sekolah di sekitar Presint 15, Putrajaya,” kata PDT Sepang menerusi hantaran Facebook hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan dalam operasi berkenaan membabitkan sembilan lot tanah yang mempunyai timbunan sampah serta aktiviti berkaitan di kawasan terbabit.
Operasi bersepadu itu diketuai PDT Sepang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) serta Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya (PTG Putrajaya) bagi menangani isu pembuangan dan penimbunan sampah haram di Sungai Merab, Sepang.
Dalam operasi sama, PDT Sepang turut mengenal pasti aktiviti kerja tanah dijalankan tanpa kelulusan diperlukan.
Susulan itu, MP Sepang mengambil tindakan di bawah Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] serta mengarahkan kerja berkenaan dihentikan serta-merta.
Dari sudut pentadbiran tanah, PDT Sepang mengambil tindakan terhadap pemilik tanah yang terlibat berhubung pelanggaran syarat nyata tanah.
Notis turut dikeluarkan bagi membolehkan tindakan pemulihan dilaksanakan manakala pemilik tanah dipanggil untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 2A Kanun Tanah Negara.
PDT Sepang turut meminta pemilik tanah mengambil tindakan pemulihan dalam tempoh ditetapkan serta memastikan tanah milik mereka tidak digunakan atau dibiarkan dalam keadaan melanggar syarat nyata dan peruntukan undang-undang.
“Kegagalan mengambil tindakan pemulihan boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan lanjut di bawah Kanun Tanah Negara. Ini juga termasuk tindakan perampasan tanah, tertakluk pada proses dan peruntukan undang-undang yang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, PTG Putrajaya menutup akses jalan masuk dari arah Putrajaya ke lokasi terbabit bagi menghalang aktiviti pembuangan sampah daripada terus menggunakan laluan berkenaan, sebagai sebahagian tindakan bersepadu mengawal kemasukan kenderaan ke kawasan pembuangan.
Sumber: Media Selangor