SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor mencipta sejarah muncul juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 dengan kutipan 200 pingat, sekali gus melengkapkan kejuaraan berganda selepas menjuarai SUKMA 2026, bulan lalu.
Kontinjen Para SUKMA tuan rumah mengumpulkan 93 pingat emas, 55 perak dan 52 gangsa untuk muncul juara keseluruhan.
Sabah di tempat kedua dengan 69 emas, 51 perak dan 45 gangsa. Sarawak pula menduduki tempat ketiga dengan meraih 52 emas, 32 perak dan 54 gangsa.
Kejayaan itu menyaksikan Selangor mencapai sasaran untuk mengembalikan kejuaraan di pentas SUKMA dan Para SUKMA, selain menjadi pencapaian bersejarah buat kontinjen negeri.
Lebih membanggakan, pungutan 93 emas itu jauh mengatasi sasaran awal sebanyak 60 emas, sekali gus menunjukkan prestasi atlet tuan rumah yang konsisten sepanjang temasya.
Pada majlis penutupan Para SUKMA 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), kegembiraan kontinjen Selangor bertambah apabila perenang para negeri, Muhammad Safwan Suhaimi, 20, dinobatkan sebagai Atlet Para Lelaki Terbaik Para SUKMA Selangor 2026.
Safwan memenangi enam pingat emas dan satu gangsa selain memecahkan dua rekod kebangsaan dalam acara 100 meter gaya kuak kupu-kupu S9 serta 200 meter rampaian individu SM9/SM10.
Beliau turut memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 100 meter gaya kuak lentang S9, 100 meter gaya kuak dada S9, 4x100 meter gaya bebas 34 mata-Campuran dan 4x100 meter rampaian 34 mata-campuran, manakala pingat gangsa diraih dalam acara 4x100 meter rampaian 34 mata lelaki.
Gelaran Atlet Para Wanita Terbaik Para SUKMA Selangor 2026 pula menjadi milik atlet para olahraga Sarawak, Noshazwani Maisara Marzuki, 22, yang turut mencuri perhatian apabila meleburkan dua rekod kejohanan.
Noshazwani mencatat rekod baharu dalam acara merejam lembing F37 dan lontar peluru F37, selain meraih dua emas serta satu perak.
Dalam acara lontar peluru F37, beliau mencatat jarak 8.93 meter bagi memecahkan rekod lama 7.25 meter, selain catatan itu turut meletakkannya dalam kelompok 10 terbaik dunia di peringkat Paralimpik.
Masing-masing menerima wang tunai RM5,000 dan piala iringan yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis penutupan yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta EXCO Belia dan Sukan, Mohd Najwan Halimi.
Kejayaan Selangor itu melengkapkan pencapaian kontinjen negeri dalam dua temasya utama tahun ini selepas turut muncul juara keseluruhan SUKMA 2026 dengan kutipan 101 pingat emas.
Sumber: Media Selangor