SHAH ALAM, 28 JUL: Kerajaan Selangor terus memperkukuh agenda pembasmian kemiskinan menerusi pendekatan menyeluruh yang memberi penekanan kepada pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan kebajikan komuniti rentan tanpa mengira kaum serta agama.
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata usaha berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tiada rakyat Selangor tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi memperkasa usahawan B40 menerusi penyediaan peralatan perniagaan.
“Bantuan ini mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan B40 khususnya ibu tunggal yang memerlukan peralatan bagi mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.
“Sebagai contoh, pemberian mesin jahit industri bukan sahaja membantu menjimatkan kos menyewa mesin malah mempercepatkan proses pengeluaran sekali gus meningkatkan kapasiti perniagaan mereka,” katanya kepada Media Selangor.
Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap isu tanah adat dan pertanian bagi membantu menyelesaikan isu rizab Orang Asli di Selangor sekali gus memastikan hak serta kepentingan komuniti berkenaan terus dipelihara.
Papparaidu berkata siri jelajah ke hampir setiap daerah turut dilaksanakan bagi meneliti sendiri keperluan komuniti Orang Asli selain mengenal pasti cabaran yang memerlukan tindakan segera.
“Saya juga telah mengarahkan 62 Tok Batin di Selangor supaya memastikan setiap kanak-kanak di kampung Orang Asli mendapat akses kepada pendidikan dan tidak tercicir daripada sistem persekolahan.
“Pendidikan merupakan jalan utama untuk memutuskan rantaian kemiskinan. Justeru, kita mahu memastikan setiap kanak-kanak memperoleh peluang pendidikan yang sewajarnya,” ujar beliau.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada komuniti India dan Melayu terutama di kawasan pedalaman berikutan masih ramai hanya menamatkan pendidikan di peringkat sekolah rendah.
Katanya, kekangan akses dan peluang ke institusi pendidikan lebih tinggi di kawasan bandar luar bandar menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian bagi meningkatkan mobiliti sosial golongan berkenaan.
Papparaidu menegaskan setiap inisiatif pembasmian kemiskinan akan terus dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.
Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diperkenalkan pada 2022 merupakan pelan pembangunan lima tahun negeri bagi memacu ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh kelestarian alam sekitar dan tadbir urus sehingga 2025.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.67 juta bagi Bantuan Blueprint di 9 daerah. Daripada daerah terlibat, tiga daerah tertinggi jumlah penerima dan nilai bantuan adalah Klang (42 orang, RM298,916.94), Gombak (28 orang, RM180,606.48) dan Kuala Langat (27 orang, RM171,709.56).
Sumber: Media Selangor