Selangor sasar 30,000 kunjungi Festival Makanan Mega, 100 gerai saji aneka juadah

Tarikh: 02/05/2025
img

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung ke Festival Makanan Mega Selangor yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Menurut Dato’ Menteri Besar, festival yang menyediakan lebih 100 gerai makanan dari seluruh Selangor antara inisiatif negeri merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

“Kami mensasarkan 30,000 pengunjung dengan 100 gerai makanan dari seluruh Selangor sepanjang festival ini dijalankan.

“Cuti panjang bermula hari ini sehingga ahad diharap trend kedatangan pengunjung semakin meningkat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui selepas merasmikan Larian Hari Wanita Antarabangsa di lokasi sama.

Tambah beliau, penganjuran festival bukan sahaja memeriahkan suasana tetapi turut mempamerkan kepelbagaian gaya hidup rakyat, selaras dengan semangat pelancongan komuniti.

Festival makanan ini juga membuka ruang kepada peniaga kecil untuk mempromosi produk masing-masing sambil menyertai Platform Selangor (PLATS), sebuah inisiatif pendigitalan perniagaan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.

Membuka tirainya hari ini hingga 4 Mei, festival berkenaan menawarkan pelbagai acara menarik lagi unik termasuk demonstrasi makanan dan persembahan malam kebudayaan.

Selepas penganjuran Festival Makanan Mega Selangor, TMS2025 bakal dirancakkan lagi melalui penganjuran Festival Kampung Baru menjelang Ogos bertujuan menonjolkan identiti Kampung Baru di seluruh negeri.

TMS2025 menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.

Sumber: SelangorKini 

Radio MPSepang
Semarak Harimu