Sidang Kemuncak Penjagaan Selangor buka ruang pelaburan, perkenal teknologi baharu

Tarikh: 07/05/2025
img

SHAH ALAM, 7 MEI: Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) pada 9 hingga 11 Oktober dijangka membuka ruang pelaburan dan memperkenalkan teknologi baharu dalam sektor penjagaan, maklum EXCO kebajikan masyarakat.

Anfaal Saari berkata program julung kali itu akan dilaksana bersekali dengan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menggabungkan pelbagai komponen seperti forum, persidangan, padanan perniagaan dan sesi libat urus.

“Semua komponen ini akan digabungkan di bawah satu bumbung, ia bukan sahaja forum atau diskusi tetapi sebagai platform untuk membuka peluang menemukan pelabur dan pengusaha yang berkaitan dengan sektor ini.

“Menariknya, menerusi persidangan ini turut diketengahkan hasil kajian universiti dan pameran peralatan penjagaan khas,” katanya kepada Media Selangor.

Sidang Kemuncak ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuhkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang dilancarkan pada November lalu oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dasar tersebut memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tadbir urus dan kawal selia, latihan penjaga terlatih, pelaburan serta inovasi dan teknologi.

Dasar yang dirancang berlangsung sehingga 2030 merangkumi penjagaan untuk warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya, serta sokongan kepada penjaga formal dan tidak formal.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai SICS sebagai pempamer atau peserta boleh melayari laman sesawang selangorcaresummit.com.

Sumber: SelangorKini 

Radio MPSepang
Semarak Harimu