‘Simpang maut’ Rimba Permai: Lampu isyarat pintar siap dua bulan lagi – MPSepang

Tarikh: 02/12/2025
img

SEPANG – Kekerapan kemalangan yang berlaku di Simpang Rimba Permai, Cyberjaya dikatakan berpunca daripada kelewatan pembinaan bulatan oleh beberapa pemaju sekali gus menyebabkan risiko terhadap keselamatan pengguna di kawasan tersebut.

Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dalam satu kenyataan mengakui kelewatan berkenaan dan mengumumkan langkah segera termasuk pemasangan lampu isyarat pintar bagi mengatasi masalah di kawasan yang digelar penduduk sebagai ‘simpang maut’ itu.

Sebagai langkah interim, MPSepang telah memasang jalur bergetar sebagai amaran awal kepada pemandu, mengecat petak kuning untuk mengatur aliran keluar masuk kenderaan serta menambah papan tanda larangan pusingan U bagi mengurangkan risiko pertembungan kenderaan di persimpangan berkenaan.

Dalam perkembangan terbaharu, MPSepang mengesahkan bahawa kontraktor bagi projek lampu isyarat pintar telah dilantik pada 26 November 2025.

“Kerja-kerja pemasangan lampu isyarat pintar di Simpang Rimba Permai dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

“Ini merupakan penyelesaian utama yang diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan di lokasi tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara menunggu sistem lampu isyarat beroperasi, MPSepang akan melaksanakan beberapa langkah tambahan termasuk pemasangan bonggol untuk memperlahankan kenderaan serta menempatkan petugas statik bagi memantau tingkah laku pemandu dan keadaan trafik secara langsung.

Kamera pemantauan turut akan dipasang dan sebarang pelanggaran undang-undang akan terus dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

MPSepang turut menegaskan berdasarkan semakan ke atas rakaman kemalangan, punca insiden bukan hanya bergantung kepada keadaan jalan tetapi turut membabitkan sikap pemandu.

“Kemalangan di kawasan itu banyak berlaku kerana pemandu memandu secara laju, mengambil selekoh berbahaya dan membuat pusingan U di lokasi yang telah dilarang,” tegas MPSepang lagi.

Sehubungan itu, majlis menasihati semua pemandu supaya sentiasa mematuhi had laju dan peraturan jalan raya sementara penyelesaian jangka panjang disiapkan sepenuhnya.

Sumber: Malaysia Tribune

Radio MPSepang
Semarak Harimu