SHAH ALAM, 30 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan menyediakan ruang perniagaan kepada peniaga dan penjaja di setiap venue temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berada dalam kawasan pentadbirannya.
Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata, terdapat enam venue dalam daerah itu yang akan digunakan bagi penganjuran temasya dwitahunan berkenaan.
Menurut beliau, venue berkenaan ialah Stadium BB Salak Tinggi bagi acara bola sepak, Cyberjaya (berbasikal), Institut Penilaian Negara (memanah), Universiti Putra Malaysia (olahraga), Universiti Tenaga Nasional (silat olahraga) serta Velodrom Nasional bagi acara basikal trek.
“Kita ada di ada lima atau enam venue itu yang kita galakkan, letak kiosk kecil untuk peniaga berniaga di sana termasuk juga peniaga foodtruck (kendera saji).
“Kita pun sebenarnya telah mengaturkan strategi…contohnya stadium, berapa ramai akan ada dan kita telah pun membuat kiraan berapa banyak kiosk yang boleh kita tempatkan di situ.
“Ini secara langsung memberikan alternatif kepada peniaga untuk teruskan kelangsungan perniagaan,” katanya kepada Media Selangor.
Februari lalu, Dr Ani dilantik sebagai timbalan ketua kontinjen Para SUKMA selain Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei sebagai ketua kontinjen.
SUKMA kali ke-22 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.
Sumber: MediaSelangor